Isnin, November 23, 2009

Bukan Pilihan Hati

Terbitan Fajar Pakeer Sdn. Bhd. [2009]
ISBN 9789833880683
Sem. Malaysia RM8.90
Sabah/Sarawak RM11.90

Lelaki itu pilihan hati baba dan amma, bukan dia.

Lelaki itu pilihan hati Sera, bukan dia.

Jadi, bagaimana boleh dia mesrai hati seorang lelaki yang hatinya sendiri tidak berkehendak? Dia, Nur Raniaa, tidak tahu bagaimana mahu menggarap sayang untuk Fathi. Tidak juga tahu bagaimana mahu menerima suami sendiri apabila penerimaan itu mengakibatkan dia hilang kawan baik.

Jadi, salahkah kalau dia tidak mahu beri peluang hati menerima bukan pilihan hati? Silapkah kalau dia tidak boleh terus membenci apabila hati mula kenal cinta kepada Fathi sedang Sera lebih layak?

*Berkait: Cinta Datang Lagi ~ Dah tahu kisah adik, apa kata baca pula kisah kakaknya? ;)


Rabu, November 18, 2009

Cinta Datang Lagi

Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. [2009]
ISBN: 9789831244807
Sem. Malaysia: RM17.00
Sabah/Sarawak: RM20.00


Cinta bukan sekadar ungkapan kata-kata. Tetapi cinta adalah kejujuran, keikhlasan dan pengorbanan untuk orang yang dicintai. Itulah tanggapan Raisya selama ini terhadap cinta Jaspal. Namun, dia hampa bila lelaki itu memilih gadis lain sebagai isteri.

Bukan Raisya seorang yang kecewa. Fariz juga turut terluka bila Shereen, gadis pujaannya menjadi milik lelaki lain. Yang anehnya… mereka hadir menyaksikan perkahwinan bekas kekasih masing-masing dalam majlis yang sama. Satu kebetulan yang kemudiannya mendorongkan dua hati yang derita ini menjadi akrab.

Tetapi Raisya sering menjauh kerana takut dikecewakan lagi. Fariz pula tak jemu memujuk, kononnya cinta sejati akan datang sekali lagi. Di saat Raisya menyerahkan hatinya kepada Fariz, pecah rahsia, rupanya lelaki itu mendekatinya untuk memiliki Shereen semula. Dan Raisya pula akan mendapat Jaspal kembali. Inikah namanya perngorbanan cinta?

Namun, bagi Fariz, Shereen cuma kenangan silamnya. Dia sudah terpaut pada Raisya sejak pertemuan pertama mereka. Tapi dapatkah dia meyakinkan Raisya bahawa cinta mereka ada penghujungnya?

*Berkait: Ria QistinaBukan Pilihan Hati ~ Kisah ini adalah spin-off daripada Ria Qistina. Dan, untuk mereka yang mahu tahu apa jadi pada adik Raisya, dapatkanlah Bukan Pilihan Hati.


Selasa, Julai 14, 2009

Dengan Nama Cinta & Nur Kasih

Terbitan Fajar Pakeer Sdn. Bhd. [2009]
ISBN 9789833880515
Sem. Malaysia RM21.90
Sabah/Sarawak RM24.90

Dengan Nama Cinta ~ Ada waktu, setia saja tidak cukup tanpa percaya. Dan, percaya itu telah lama hilang daripada hati Sirna. Namun, bijaknya seorang Hasif, percaya kepada cinta dan lelaki itu sendiri, mahu menerpa. Haruskah peluang itu diberi?

Ada waktu pula, hati tidak pernah faham bagaimana untuk padamkan cinta. Akal membilang, namun hati menegah. Begitulah hati Aiza apabila cinta lalu menyapa, Izam kembali semula meminta ruang yang sedia untuknya. Bolehkah ruang itu diberi?

Dan, waktu lain pula, cinta tidak hanya boleh berdiam. Harus ada lafaz, harus ada ucap. Itulah mahu Haryani, daripada abang angkatnya sendiri. Dia sudah lelah melafaz, dia sudah penat mengucap. Kini, giliran Fitri. Mampukah lafaz dan ucap itu diberi?

Nur Kasih ~ Kalau diberi pilihan, antara dendam dan rindu, Arin akan memilih dendam. Kerana dendam itu membuatkan dia ada sebab untuk mendekati lelaki itu namun rindu bakal memaksa dia berlari jauh. Kerana rindu buat lelaki itu bukan layak hatinya. Hanya rindu Aryanie layak di hati Fairul.

Benarkah begitu?

*Berkait: PrincessAtas Nama Cinta ~ Kisah Izam dan Aiza sebelum di Kampung Dang Setia, tercoret dalam Princess. Manakala kesudahan kisah Genelia, berakhir dalam Atas Nama Cinta.


Isnin, Julai 13, 2009

Atas Nama Cinta

Terbitan Fajar Pakeer Sdn. Bhd. [2007]
ISBN 9789833880065
Sem. Malaysia RM20.90
Sabah/Sarawak RM23.90


'Cinta ibarat berlianyang mempunyai benih faset. Jernih atau kabur cahayanya bergantung kepada penggosoknya.'

Genelia hanya mahu jauh daripada keluarga, demi cinta. Hafidz hanya mahu menjauh daripada curiga, demi sahabat. Lalu mereka lalukan perkara yg serupa; berbohong. dan, pembohongan itu mencengkam hati mereka lantas dengan nama cinta mereka berikrar, mahu mencipta kenangan demi dibawa bersama. Hanya satu masalah yang timbul: Kenangan akan mengejar lau mereka menjadi tamak, mahu memiliki cinta- sepenuhnya.

*Berkait: Dengan Nama Cinta~ Apa jadi sebelum Genelia bertemu Hafidz di Kampung Dang Setia? Untuk tahu kisah-kisah insan di belakang Genelia, jom jenguk!

Klik untuk baca:
l 1 l 2 l 3 l 4 l Pesan on9


Khamis, Julai 09, 2009

Kau Sayangku

Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. [2005]
ISBN: 9831242068
Sem. Malaysia RM17.00
Sabah/Sarawak RM20.00

Kau Sayangku mengisahkan seorang gadis yang pada zahirnya seorang yang periang, tapi di sebalik gelak ketawa, senda guraunya, tersimpan satu kisah yang agak pahit untuk ditelan. Adik kembarnya telah pergi bersama cinta yang tidak kesampaian dan keluarganya telah dibenci oleh ibu saudaranya sendiri.

Kehadiran Eddy Sham dan Akif Zamani telah mengocak jiwa remaja Arisa. Kedua-duanya mempunyai personaliti yang menarik dan berkarisma. Mereka mempunyai impian yang sama iaitu ingin memberi dan menerima cinta. Tapi sayang... satu hati hanya berhak untuk satu jiwa. Lantaran, Eddy Sham terpaksa mengalah dan membiarkan Akif zamani meraikan kemenangan cintanya. Sayang sekali... di saat cinta sampai ke puncak, sesuatu yang tidak diingini terjadi.

Redakah Akif menerimanya? Berjayakah Arisa mempertahankan cinta sedangkan nasib cintanya di tangan orang lain?

*Berkait: Sambutlah Cintaku ~ Nak kenal siapa Aiman dan Datul yang dimunculkan di sini? Dapatkanlah novel ini untuk kenal mereka dengan lebih dalam.


Rabu, Julai 08, 2009

Ria Qistina

Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. [2003]
ISBN: 9831241304
Sem. Malaysia RM15.00
Sabah/Sarawak RM18.00


Cinta sememangnya wujud dalam diri setiap insan. Sesekali akal waras manusia lupa akan hakikat itu. Semuanya kerana dendam, sakit hati dan benci akan kenyataan yang terpaksa dilalui.

Ria Qistina seorang remaja tomboi yang telah kehilangan kasih sayang daripada keluarganya sejak kecil lagi. Pengalaman pahit yang pernah dilalui menghambatnya ke dunia ciptaan sendiri. Dendam membuatkan Qistina membenci cinta dan kasih sayang seorang lelaki. Baginya, cinta itu pemusnah dan pembunuh kehidupannya. Seboleh mungkin, dia ingin menjauhkan diri dari perasaan itu. Namun, kemunculan Fadzli sekali lagi menambah deritanya. Salahkah seseorang itu andai mengorbankan cinta demi kasih pada ibu tercinta? Wajarkah dia menurut kata hatinya sendiri?

Kehadiran Zarif mengundang kekeliruan dalam diri Qistina. Zarif dengan egonya, Qistina bersama dendamnya terhadap cinta lelaki. Keduanya dipertemukan tanpa dirancang. Mampukah mereka berubah? Apakah Qistina akur dengan hakikat setiap manusia sememangnya dilahirkan dan dianugerahkan dengan perasaan cinta?

*Berkait: Cinta Datang Lagi ~ Dapatkan spin-off Ria Qistina, yang menampilkan watak baru daripada novel ini. Nak tahu siapa... kenalah baca :D


Isnin, Julai 06, 2009

Sambutlah Cintaku

Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. [2002]
ISBN: 9831240790
Sem. Malaysia RM11.00
Sabah Sarawak RM14.00

Pertama kali bertemu Aiman, Datul menganggap lelaki itu tidak sesuai memegang jawatan sebagai pengarah urusan di Iman Holding, syarikat milik ayahnya.

Di pejabat, mereka sering tidak sependapat dalam tugas. Kata mengata dan benci-membenci merupakan senjata untuk mereka bersengketa. Akhirnya, tanpa diduga, Aiman cintakan Datul dan Datul rindukan Aiman.
Masalah timbul bila Amir juga jatuh hati pada Datul tanpa mengetahui gadis itu adalah kekasih abangnya. Aiman bersedia mengundur diri untuk kebahagiaan adiknya. Tapi cinta Datul tidak mungkin ditukar ganti.

Atas desakan keluarga, perkahwinan Aiman dan Datul dilangsungkan. Aiman bertindak menjauhkan diri dari Datul kerana rasa bersalah melukakan perasaan Amir. Sebagai isteri, Datul tertekan dengan sikap Aiman dan bertindak membawa diri.

*Berkait: Kau Sayangku ~ Rindu kepada Datul & Aiman? Hilangkan dengan menjenguk KS seketika \^-^/


Sabtu, Julai 04, 2009

Kau Yang Bernama Seri

Bersahabat lebih baik daripada berkasih. Bermasam muka dalam persahabatan masih mampu bertaut kembali dalam hubungan mesra. Sebaliknya sekali hati dilukai kekasih, amat jarang memulih perhubungan sebagai sahabat.

Seri lebih rela menjadi sahabat Za'ba. Pertengkaran yang timbul adalah bunga-bunga mesra yang berputik pada setiap pertemuan mereka. Kehadiran Siti Nurliza mengelirukan suasana persahabatan mereka.

Dapatkah Siti Nurliza menghancurkan perhubungan suci antara Seri dan Za'ba? Adakah selamanya mereka terus bergelar sahabat, tanpa timbul perasaan lain?

*Berkait: Atas Nama Cinta ~ Mereka di alam pekerjaan dan di alam yang bagaimanakah hubungan Seri & Za'ba.


Jumaat, Julai 03, 2009

Dian Di Hati

Cinta suci anugerah daripada Allah, terlalu indah bila dinikmati oleh insan yang luhur dan ikhlas. Cinta yang hanya boleh dipisahkan oleh maut dan ketentuan Ilahi.

Zarul telah menemui cinta suci itu. Natilia, Shatina dan Fatehah adalah cinta suci ibarat dian yang menyinari kamar hatinya. Zarul resah bernaung di bawah lembayung cinta cinta ketiga-tiga gadis itu.

Siapakah di antara mereka yang cintanya teguh bersemadi di jiwa Zarul? Siapakah pula yang menjadi pilihan keluarganya, terutama ibu Zarul?

*Berkait: Dengan Nama Cinta ~ Ketahui apa seterusnya berlaku dengan hubungan Zarul dan gadis pilihannya...


Khamis, Julai 02, 2009

Tangisan Senja Harapan

Demi kasihkan adiknya, Alisa tekad untuk mencari adiknya Sufi walau di mana saja dia berada. Hasratya tidak diketahui keluarga, walaupun ibunya sendiri.

Alisa ke Kuala Lumpur. Di sana Alisa menumpang di rumah ibu saudaranya. Dalam menurut jejak adiknya, Alisa sering diburu lelaki-lelaki yang ingin menagih kasih daripadanya. Pun begitu, Alisa tidak mudah menyerah sehinggalah hadirnya Arie yang berjaya mengetuk pintu hatinya.

Berjayakah Arie menagih cinta Alisa? Tergugatkah cinta Arie setelah mengetahui rakan baiknya sendiri turut memendam rasa terhadap Alisa?


Rabu, Julai 01, 2009

Princess

*Untuk makluman novel Princess buat masa ini tak ada stok & tak diterbitkan lagi. Saya akan cuba terbitkannya kembali, insya-Allah. Sebaik saja terbit, saya akan uar-uarkan di sini. Harap maklum untuk mereka yang sudi menunggu.

Mohd Izat Effy, jejaka tampan dan kaya yang sering menjadi rebutan. Kekayaan dan ketampanannya menjadikan dia ego. Keegoannya luntur apabila dia dipertemukan dengan gadis yang degil, lincah dan periang. Pertemuan atas dasar kebencian itu akhirnya membenihkan rasa cinta. Apatah lagi keluarga kedua belah pihak amat merestui hubungan suci itu.

Di saat Izat ingin melamar princess hatinya, Nazira menarik menarik diri. Izat kecewa dan menderita dengan tindakan itu. Tertunaikah impian Izat untuk mereka...?

*Berkait: Dengan Nama Cinta ~ Lanjutan kisah Izam dan Aiza jadi himpunan dalam novel ini. Untuk tahu apakah kesudahan hubungan mereka, bolehlah dapatkannya ;)


Biarlah Ku Sendiri

Terbitan Karnadya Solutions
Sem. Malaysia RM16.00


Biarlah Ku Sendiri memuatkan tujuh kisah menarik daripada penulis-penulis kreatif tanah air yang berpengalaman. Kisah-kisah di dalam buku ini tidak terlalu panjang, namun padat dengan plot-plot yang pastinya membuatkan anda terus membaca. Ada yang berunsur lucu, ada yang bersifat lebih serius, ada juga yang sedih, tetapi semestinya menghiburkan don menyentuh perasaan.

Biarlah Ku Sendiri (berbentuk novel pendek atau NOPEN) mampu menjadi teman anda ketika anda sedang bersantai, berehat dengan ahli keluarga, atau sedang berada dalam bas, kapal terbang, keretapi atau tren komuter, menuju ke destinasi anda.Jadikan buku ini teman baik anda di mana jua anda berada!


Satu Penantian

Terbitan Karnadya Solutions
Sem. Malaysia RM17.00

Satu Penantian memuatkan lima kisah menarik daripada penulis-penulis kreatif tanah air yang berpengalaman. Ada kisah yang dipaparkan mengandungi plot-plot yang menyayat hati, ada yang lucu dan ada yang lebih serius. Namun, semuanya menghiburkan dan menyentuh perasaan.

Satu Penantian (berbentuk novel pendek atau NOPEN) mampu menjadi teman anda ketika sedang bersantai dengan ahli keluarga atau sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi anda!